Thursday, 19 March 2015

Sumbang Mahram

Sumbang mahram atau inses ialah kegiatan seks antara ahli-ahli keluarga yang rapat. Ia merupakan suatu pantang larang dalam kebanyakan kebudayaan, baik pada masa lampau mahupun pada masa kini, termasuk juga dalam kebudayaan-kebudayaan yang lebih permisif terhadap perkara-perkara seks yang lain. Umpamanya, masyarakat Marquesas Polinesia Perancis sebelum dipengaruhi oleh dunia Barat membenarkan keseksualan kanak-kanak dan pengujikajian, tetapi tidak membenarkan sumbang mahram.
Pengertian yang tepat tentang istilah ini amat berbeza kerana kebudayaan-kebudayaan yang berbeza mempunyai tanggapan-tanggapan yang berbeza tentang apa yang dimaksudkan dengan "kegiatan seks" serta "ahli keluarga yang rapat". Sesetengah kebudayaan hanya mengambil kira mereka yang mempunyai hubungan melalui kelahiran, sedangkan yang lain termasuk mereka yang mempunyai pertalian melalui perkahwinan serta pengambilan anak angkat. Ada juganya kebudayaan yang melarang sebarang hubungan seks antara mereka yang dibesarkan dalam rumah tangga yang sama, manakala ada yang melarang hubungan seks antara orang-orang yang dibesarkan dalam rumah tangga yang berkait.
Sumbang mahram boleh berlaku antara saudara yang sama jantina mahupun berlainan jantina. Ia juga boleh berlaku antara saudara kandung, ibu bapa dengan anak-anaknya, serta antara saudara-saudara dewasa.
Sumbang mahram antara saudara yang rapat merupakan satu jenayah dalam kebanyakan bidang kuasa wilayah, termasuk kes-kes yang mendapat kesepersetujuan, walaupun sekali lagi apa yang dimaksud dengan istilah "rapat" berbeza-beza. Bagaimanapun, oleh sebab sumbang mahram merupakan suatu perbuatan perorangan yang dilakukan secara sulit, undang-undang sumbang mahram merupakan sebuah undang-undang yang susah dikuatkuasakan. Terdapat banyak perbezaan antara negara-negara tentang keseriusan jenayah sumbang mahram, dengan sebilangan negara seperti Australia menganggap sumbang mahram sebagai satu kesalahan berat yang boleh didakwa, manakala negara-negara yang lain menganggapnya sebagai suatu jenayah kecil dengan hukuman yang jauh lebih ringan.
Konsep-konsep "sumbang mahram" dan "pembiakbakaan dalam" adalah tidak sama.
"Sumbang mahram" merujuk kepada pantang larang kegiatan seks dari segi sosial antara orang-orang perseorangan yang dianggap bersaudara terlalu rapat untuk berkahwin. Dengan kata yang lain, sumbang mahram merupakan sepatah istilah sosial dan kebudayaan. Sebaliknya, "pembiakbakaan dalam" merujuk kepada pembiakan antara orang-orang perseorangan dengan gen yang terlalu rapat, tanpa mengira kedudukan-kedudukan sosial mereka. Istilah ini ialah istilah saintifik dan bukannya istilah sosial atau kebudayaan.
Dalam banyak masyarakat, takrif untuk "sumbang mahram" dan "pembiakbakaan dalam" adalah sama. Umpamanya, hubungan seks antara orang-orang yang rapat gennya dianggap sebagai sumbang mahram. Sebaliknya, dalam masyarakat-masyarakat yang lain, hubung kaitnya mungkin tidak sebegitu ketara. Banyak budaya menganggap hubungan seks antara sepupu selari sebagai sumbang mahram, tetapi tidak hubungan seks antara sepupu silang, walaupun tahap hubungan genetik tidak berbeza. Selain itu, hubungan seks mungkin dianggap sebagai sumbang mahram walaupun tidak terdapat sebarang hubungan genetik, umpamanya antara:
  • ibu bapa tiri dengan anak tirinya
  • seorang lelaki dengan kakak atau adik iparnya
  • seorang perempuan dengan abang atau adik iparnya
walaupun hubungan-hubungan tersebut tidak membabitkan sebarang risiko pembiakbakaan yang melebihi perkahwinan yang dibenarkan.

No comments:

Post a Comment